Rabu, 23 Jun 2021

Tukang cuci lari dari polis rempuh warga emas berdepan hukuman mati

Mohamad Adlin Abd Rahman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di George 
Town hari ini. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Seorang tukang cuci yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan merempuh pejalan kaki sehingga maut di Georgetown Selasa lalu didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret.

Mohamad Adlin Abd Rahman, 46, didakwa membunuh Teoh Kar Hin, 61, berhampiran pasar Jalan Perak pada jam 6.45 pagi 15 Jun. Dia juga didakwa menghalang empat anggota polis daripada menjalankan tugas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka. Tiada pengakuan direkodkan.

Adlin berdepan hukuman mati atas tuduhan membunuh dan penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 kerana menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Di Mahkamah Sesyen, Adlin turut didakwa memiliki 12.5g heroin dan positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan. Dia didakwa di bawah seksyen 12 (2) dan 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan itu diketuai oleh Majistret Manomani Ramanathan dan Hakim Mahkamah Norsalha Hamzah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim sementara Purantharan MG Rajoo mewakili Adlin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 12 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pada 15 Jun, dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, polis yang sedang melakukan rondaan cuba menahan Perodua MyVi dipandu tertuduh yang didapati dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Jalan P Ramlee.

Tertuduh cuba melarikan diri dengan kenderaannya dan semasa berada di Jalan Perak, dia melanggar warga emas berkenaan, namun tidak berhenti.

Tertuduh kemudian terus memandu dan setibanya di Jalan Batu Uban 2, berhampiran E Park, dia diarahkan berhenti. Dia bagaimanapun masih bertindak agresif untuk melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis.

Ekoran itu, anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan kenderaan tertuduh, manakala seorang lagi anggota polis yang datang memberi bantuan melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan kenderaan berkenaan.

Tiada ulasan: