Sabtu, 12 Jun 2021

Tuan rumah, jurugambar kena kompaun anjur majlis kahwin

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/06/12/1095526.jpeg

Tiga lelaki dikompaun termasuk pengantin lelaki kerana mengadakan majlis perkahwinan ketika pelaksanaan PKP 3.0.

KEPALA BATAS- Seorang lelaki dikenakan kompaun RM2,000 kerana mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya di sebuah rumah di Butterworth pada tengahari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain lelaki selaku tuan rumah itu, jurugambar perkahwinan dan pengantin lelaki turut dikompaun RM2,000 kerana menghadiri majlis tersebut.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penganjuran majlis perkahwinan itu lalu melakukan pemeriksaan ke atas kediaman tersebut.

"Pemeriksaan mendapati 19 ahli keluarga lelaki berkenaan termasuk kanak-kanak berada dalam majlis tersebut. Oleh kerana majlis perkahwinan tidak dibenarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka penganjur majlis, pengantin lelaki dan jurugambar perkahwinan telah dikompaun.

"Saya terkilan kerana masih ada yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menganjurkan majlis perkahwinan yang tidak dibenarkan.

"Sikap seperti ini hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan situasi semasa. Saya tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak atau individu dalam memastikan SOP PKP 3.0 terus dipatuhi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya, setakat Jumaat, 41 kompaun dikeluarkan melibatkan 37 lelaki dan empat wanita kerana tidak mematuhi SOP PKP 3.0.

Tambahnya, daripada jumlah itu, sembilan individu dikompaun kerana kesalahan merentas negeri dan daerah.

Tiada ulasan: