Khamis, 10 Jun 2021

Syor buka masjid bagi jemaah sudah divaksin

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) supaya masjid dibuka kepada jemaah yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata ia berikutan individu yang sudah melengkapkan dos suntikan vaksin risiko jangkitan lebih rendah.

"Dalam mesyuarat petang tadi, kita membuat cadangan supaya masjid dibuka kepada jemaah yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tanpa dikenakan had bilangan jemaah.

"Namun, ianya masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) dari segi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sebagainya.

"Perkara ini akan diangkat kepada MAIK selepas itu sebelum perkara itu diputuskan secara rasmi," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, hari ini.

Pada masa sama, Dr Izani berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk membeli vaksin COVID-19, jika dirasakan perlu bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), peringkat negeri.

Bagaimanapun katanya, berapa jumlah vaksin berkenaan bergantung kepada kewangan kerajaan negeri.

"Kita berdepan sedikit masalah dari segi bekalan vaksin. Sepatutnya kita menerima 108,000 dos vaksin sebulan, namun dikurangkan kepada 27,000 dos vaksin.

"Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sudah menaikkan jumlah dos vaksin berkenaan daripada 27,000 dos kepada 60,000 dos vaksin sebulan.

"Oleh demikian, bagi percepatkan suntikan vaksin, jika dirasakan perlu membelinya, kita akan membelinya," katanya

Tiada ulasan: