Ahad, 13 Jun 2021

Surat, permit pergerakan sah sehingga 28 Jun

 Oleh NOR IDAYU BOSRO

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Semua surat atau permit pergerakan yang diluluskan sebelum ini hingga 14 Jun ini masih diterima polis hingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada 28 Jun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, polis akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan oleh 12 kementerian dan agensi yang dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan surat atau permit pergerakan tersebut.

“Mereka yang didapati memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan surat atau permit kebenaran tersebut akan diambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di Facebook KDN hari ini.

Sementara itu, Hamzah memaklumkan, KDN mendapati terdapat peningkatan kes-kes penghinaan terhadap institusi diraja kebelakangan ini melalui media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam mengikut lunas perundangan negara,” katanya. -K! ONLINE

Tiada ulasan: