Ahad, 27 Jun 2021

Sindiket bolot projek bernilai RM135 juta dibongkar SPRM

AGENDA DAILY

Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Kegiatan sindiket membolot 22 projek bernilai RM135 juta di sebuah kementerian sejak 2017 dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap seorang penolong setiausaha bahagian di kementerian.

Pihak berkuasa sudah menahan pemilik-pemilik syarikat dan pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lepas, lapor Bernama.

Hasil siasatan berhubung kes itu membawa kepada penahanan terbaharu iaitu seorang pegawai bahagian perolehan di kementerian berkenaan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut.

Menurut sumber itu, projek bernilai RM2.6 juta itu adalah projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi kerajaan.

Perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” kata sumber itu.

Pada 21 Jun lepas, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin ditahan reman kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin yang dianggarkan bernilai RM10 juta daripada agensi kerajaan.

Esoknya, penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan pula ditahan dan diikuti dengan penahanan seorang pengurus syarikat.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, kata sumber.

Tiada ulasan: