Jumaat, 25 Jun 2021

Setengah jam ular tedung dalam baju

Anggota bomba menangkap ular tedung hitam yang memasuki baju seorang 
budak lelaki di Pontian, Johor. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun berdepan pengalaman ngeri hampir setengah jam apabila seekor ular tedung memasuki baju dipakainya dalam kejadian di Pontian, Johor.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pasukan yang ditugaskan menemui seekor anak ular tedung hitam sepanjang kira-kira 0.5m berada di dalam baju mangsa sejurus tiba di lokasi kejadian.

“Ular itu dipercayai memasuki baju ketika mangsa baring di ruang pantri di rumah itu. Anggota bomba bertindak menggunting baju kanak-kanak terbabit sebelum menangkap reptilia itu menggunakan penjerut,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Jurucakap itu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah hari.

Katanya, sebuah jentera bersama tiga anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd Noor Parmon dikejarkan ke lokasi kejadian di Kuarters Balai Polis Ayer Baloi.

“Hidupan berbisa itu kemudian dilepaskan di lokasi jauh dari perumahan awam. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat 12.56 tengahari,” katanya.

Tiada ulasan: