Sabtu, 12 Jun 2021

Saintis anggar berat semua virus Covid-19 10 kilogram

Oleh KOSMO!
 
GAMBAR pada 16 Mac 2020 menunjukkan model partikel SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan penyakit Covid-19. - AFP

LONDON – Sekiranya anda mengumpulkan setiap partikel aktif virus Covid-19 di seluruh dunia, anda akan mempunyai berat antara sebiji epal dan seorang anak kecil, lapor portal berita Metro.UK

Walaupun berbilion-bilion partikel Covid-19 dihimpunkan, beratnya tidak akan melebihi berat kanak-kanak berumur dua tahun.

Sekumpulan  penyelidik dari Amerika Syarikat dan Israel menyatakan bahawa partikel  virus Covid-19 tunggal mempunyai anggaran berat satu femtogram atau 0.000 000 000 000 001 gram.

Berdasarkan anggaran jumlah virus dalam monyet  rhesus, pasukan penyelidik tersebut berjaya menganggarkan jumlah virus Covid-19 yang ada dalam tubuh seseorang yang telah dijangkiti. 

Mereka mendapati seseorang yang dijangkiti Covid-19 berkemungkinan memiliki antara satu hingga 10 mikrogram koronavirus dalam tubuh mereka.

Berdasarkan anggaran satu hingga 10 juta orang dipercayai dijangkiti pada sesuatu masa ketika pandemik, justeru, berat keseluruhan partikel virus Covid-19 yang aktif adalah antara 0.1 kilogram hingga 10 kilogram.

Atau dalam erti kata lain, antara berat sebiji epal dan seorang anak kecil.

Memandangkan korban manusia yang begitu besar akibat pandemik,  mengetahui berat keseluruhan virus Covid-19 mungkin dianggap perkara remeh.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan berkata, penyelidikan mereka yang disiarkan pada minggu ini  dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, turut  mempunyai aplikasi berguna.

Dengan menganggarkan bilangan partikel virus yang aktif, mereka dapat menganggarkan bilangan mutasi yang mungkin berlaku daripada satu jangkitan.

Pasukan saintis berkenaan berpendapat bahawa setiap jangkitan menghasilkan 0.1 mutasi dalam genom virus Covid-19.

Ia menyamai tiga mutasi dalam tempoh sebulan, manakala angka tersebut menyamai penyelidikan lain dalam bidang tersebut. – Agensi

Tiada ulasan: