Jumaat, 11 Jun 2021

Sahabat Alam gesa kerajaan Pahang henti aktiviti perlombongan di Tasik Chini

SAM menggesa kerajaan negeri mewartakan keseluruhan Tasik Chini dan 
kawasan sekitarnya sebagai kawasan perlindungan kerana ia merupakan 
satu daripada kawasan sensitif alam sekitar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan segera dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia, iaitu Tasik Chini dan kawasan sekitarnya.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, hanya komitmen kerajaan negeri sahaja yang mampu menyelamatkan Tasik Chini, Pekan, daripada terus mengalami kemusnahan ekosistemnya.

“Antara tindakan segera lain yang perlu dilakukan ialah empangan kecil yang menjejaskan ekosistem semula jadi Tasik Chini hendaklah dirobohkan.

“Tindakan selanjutnya ialah kerajaan negeri mewartakan keseluruhan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai kawasan perlindungan kerana ia merupakan satu daripada kawasan sensitif alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan komitmen terhadap isu berkenaan turut dikhuatiri pengisytiharan Tasik Chini sebagai rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mei 2009 berkemungkinan akan ditarik balik.

Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang semalam memaklumkan tahap kualiti air di Tasik Chini masih bersih dan selamat untuk semua hidupan.

Isu membabitkan Tasik Chini tular di media sosial baru-baru ini susulan paparan gambar keadaan “terkini” tasik berkenaan yang didakwa terancam berikutan aktiviti perlombongan.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, termasuk daripada Ahli Parlimen Pekan Najib Razak yang mendakwa ia merupakan gambar lama yang dirakam dua tahun lepas.

Tiada ulasan: