Sabtu, 12 Jun 2021

Polis tahan 35 dalam pesta seks, dadah

 Oleh Safeek Affendy Razali


KUALA LUMPUR: Polis menahan 35 individu terbabit parti liar meraikan ulang tahun kelahiran seorang doktor swasta di sebuah residensi mewah di Jalan Conlay, di sini, malam tadi.

Parti yang diadakan bersama hidangan minuman bercampur dadah dan kegiatan seks bebas itu terbantut selepas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menyerbu empat unit bilik di tingkat 12 serta 14 residensi berkenaan.

Timbalan Ketua JSJ Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata serbuan dilakukan pada jam 11 malam selepas polis menerima maklumat awam mengenai penganjuran parti liar itu.

"Ketika serbuan dijalankan serentak ke atas empat bilik itu, kesemua individu terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita tempatan, lima wanita warga Vietnam, seorang wanita warga Thailand serta dua lelaki warga China, sedang leka berhibur dengan alunan muzik yang kuat.

"Malah selain khayal disyaki mengambil minuman bercampur dadah, ada antara mereka yang berjudi dan mengadakan seks bebas," katanya kepada BH selepas melakukan serbuan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 20 botol minuman jus buah disyaki mengandungi dadah, dua kotak kondom, set daun terup dan mangkuk berisi buah dadu, serta peralatan sistem audio dan lampu disko.

"Siasatan awal mendapati mereka menempah empat bilik itu selama dua malam sejak petang semalam (Jumaat) hingga Ahad untuk berparti.

"Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Nasri berkata, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit kegiatan pelacuran, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 4(1) Akta Hiburan dan Akta Imigresen.

 Pasukan JSJ Kuala Lumpur menyerbu parti liar di sebuah residensi mewah, malam tadi. - NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN Pasukan JSJ Kuala Lumpur menyerbu parti liar di sebuah residensi mewah, malam tadi. - NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Selain itu, beliau berkata, individu terbabit turut dikenakan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, JSJ Kuala Lumpur akan terus mengesan sebarang penganjuran aktiviti tidak bermoral, sekali gus mengalu-alukan maklumat berkaitan daripada orang awam.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melalui talian 03-21159999.

Tiada ulasan: