Sabtu, 12 Jun 2021

Polis cari remaja lelaki bantu siasatan kes samun

NORAFIDAH ASSAN 


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/06/12/1095594.jpg Antara barangan yang dirampas polis daripada suspek kes samun pemilik kedai runcit di Taman Bistari Jasin, Jasin pada Jumaat.

JASIN- Polis Melaka sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai melakukan samun terhadap pemilik kedai runcit bersama rakannya di Taman Bistari Jasin, di sini petang Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.46 petang itu seorang peniaga kedai runcit berusia 55 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali.

"Dua suspek berkenaan menaiki motosikal dan memakai topi keledar dipercayai bertindak mencederakan mangsa sebelum membawa lari telefon bimbit milik mangsa.

"Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri dipercayai akibat bergelut dengan suspek," katanya selepas mengesahkan laporan itu pada Sabtu.

Beliau berkata, berikutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Melaka melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Segenting.

"Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi Sabtu itu, polis berjaya menahan suspek berusia 30 tahun dan polis merampas beberapa barangan termasuk beg galas dan telefon bimbit serta motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia didapati mempunyai empat rekod lampau membabitan jenayah serta dadah.

"Siasatan lanjut mendapati suspek melakukan samun tersebut bersama rakannya yang masih bebas," katanya.

Sebuah motosikal yang dirampas polis daripada suspek kes samun pemilik kedai runcit di Taman Bistari Jasin, Jasin pada Jumaat.

Sebuah motosikal yang dirampas polis daripada suspek kes samun pemilik kedai runcit di Taman Bistari Jasin, Jasin pada Jumaat.

Katanya, polis kini sedang mengesan remaja berusia 17 tahun yang beralamat Kampung Bukit Larang Pernu bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/143805/BERITA/Semasa/Polis-cari-remaja-lelaki-bantu-siasatan-kes-samun

Tiada ulasan: