Sabtu, 26 Jun 2021

PKP disambung hingga Raya Haji?

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

PIHAK berkuasa mengadakan sekatan jalan raya bagi mengawal aktiviti rentas daerah dan negeri susulan pelaksanaan PKP. - GAMBAR HIASAN/ UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

PUTRAJAYA: Jumlah positif Covid-19 melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut memberi bayangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama disambung lagi.

Sebagaimana kelaziman, pengumuman keputusan sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dimaklumkan dua hari sebelum tempoh PKP tamat pada Isnin ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberitahu, negara hanya boleh beralih ke fasa kedua jika purata kes Covid-19 berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu, penilaian dibuat berdasarkan kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi telah divaksin.

Semalam, negara merekodkan jumlah kes positif 5,812 kes dengan kes aktif sebanyak 60,117 kes selain 870 kes berada di ICU.

Jika PKP disambung 14 hari lagi bermakna tempoh pelaksanaan adalah sehingga 12 Julai. Bagaimanapun, seminggu berikutnya, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha.

Justeru, tidak mustahil kerajaan memanjangkan tempoh PKP sehingga Hari Raya Aidiladha bagi mengelak masyarakat melakukan ziarah raya dan mencetuskan semula kluster perayaan.

Bagaimanapun, mungkin terdapat kelonggaran bagi perkara-perkara tertentu jika perintah berkenaan dilanjutkan.

Mengikut rekod, bermula 13 Mei sehingga 10 Jun lalu, terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster) dilaporkan.

Sebanyak 13,023 individu disaring dalam kluster ini, yang mana terdapat 3,511 kes COVID-19 dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus.

Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan.

Jika pergerakan rakyat tidak disekat melalui PKP dan masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: