Sabtu, 12 Jun 2021

Permit pergerakan pekerja tamat tempoh masih diterima PDRM

Permit atau surat pergerakan bagi pekerja sektor ekonomi yang tamat tempoh pada 14 Jun masih diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tamat tempoh Sekatan Pergerakan Penuh 28 Jun ini. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Permit atau surat pergerakan bagi pekerja sektor ekonomi yang tamat tempoh pada 14 Jun masih diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tamat tempoh Sekatan Pergerakan Penuh 28 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati memalsukan permit pergerakan atau memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan permit kebenaran tersebut.

“Susulan keputusan kerajaan melanjutkan Sekatan Pergerakan Penuh sehingga 28 Jun, PDRM akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan 12 kementerian dan agensi yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini juga bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR),” katanya pada pemberita di kementeriannya di Putrajaya pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan disambung untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa pada Selasa depan sehingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi melebihi 5,000 dengan purata kes baharu sehingga Khamis ialah 6,871 kes.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, hampir 1,000 SJR telah dilakukan oleh pihak PDRM termasuk menutup 129 jalan-jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif.

Selain itu, katanya, sebanyak 9,808 kompaun telah dikeluarkan dan 542 tangkapan telah dibuat oleh PDRM dari 1 hingga 11 Jun.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 355 perbadanan telah dikompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Tiada ulasan: