Jumaat, 11 Jun 2021

Perginya bekas ratu trek negara

 Oleh UTUSAN MALAYSIA

PETALING JAYA: Sukan tanah air hari ini menerima kehilangan besar apabila perginya bekas ratu pecut dan tokoh pemimpin olahraga yang amat disegani, Rajemah Sheikh Ahmad.

Allahyarhamah meninggal dunia di usia 77 tahun pada pukul 1.30 tengah hari tadi di kediamannya di Taman Permint Jaya, Kuala Terengganu selepas menderita kanser pankreas tahap empat.

Pada zaman kegemilangannya sekitar 1960-an, Rajemah pernah memenangi pingat perak Sukan Semenanjung Asia Tenggara Ketiga di Kuala Lumpur 1965 melalui acara kegemarannya  80 meter (m) lari berpagar wanita, selain meraih gangsa 4x100m bersama Datuk M. Rajamani, P. Savathri dan Cheryl Doral pada Sukan Asia 1966 di Bangkok.

Allahyarhamah, juga bekerja sebagai seorang guru selama 33 tahun bermula 1965 hingga 1998.

Bagaimanapun cintanya terhadap sukan, terutama olahraga menyaksikan beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Rajemah juga pernah menyandang jawatan dalam Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu, Persatuan Olahraga Negeri Terengganu dan Persatuan Olahraga Asia.

“Arwah ibu akan disemadikan pada jam 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu,” kata anak Allahyarhamah, Kama Rezuan Kamaruddin, 49, ketika dipetik kepada Bernama.

Sementara itu, rakan rapat Allahyarhamah, Datuk Mumtaz Jaafar, yang juga Timbalan Presiden KOM, menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar buat dunia olahraga negara.

Mumtaz yang juga bekas ratu pecut negara era 80-an berkata, arwah seorang yang sangat aktif dalam sukan olahraga sehingga ke akhir hayatnya dan banyak menabur bakti dalam memajukan sukan berkenaan, terutama di Terengganu.

“Arwah ibarat kakak kepada saya, banyak saya belajar bidang pengurusan daripadanya, sukar mencari pengganti yang mempunyai minat mendalam dalam dunia olahraga sepertinya.

“Malah, arwah ketika dimasukkan ke hospital sebulan lepas masih bersemangat menghadiri mesyuarat KOM yang diadakan secara maya,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu hantaran di laman Facebook turut berduka dengan kehilangan Rajemah dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah berhubung berita pemergiannya.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” menurut hantaran berkenaan. UTUSAN

Tiada ulasan: