Selasa, 15 Jun 2021

Perdana Menteri menghadap Agong

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

MUHYIDDIN YASSIN

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Kenderaan membawa Muhyiddin  memasuki pintu satu Istana Negara pada pukul 2.20 petang.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Pengerusi Jawatankuasa Bebas Darurat, Arifin Zakaria tiba di Istana Negara pukul 9.45 pagi untuk menghadap Seri Paduka.

Sesi menghadap tersebut berlangsung selepas siri sembah maklum oleh 15 wakil ketua parti pada Rabu hingga Jumaat lalu sebelum ia berakhir semalam.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Arifin iaitu bekas Ketua Hakim Negara.

Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Istana Negara sejak minggu lalu kembali mencuri tumpuan apabila ketua-ketua pentadbiran pusat dan negeri menghadap Seri Paduka dan antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

Tiada ulasan: