Ahad, 27 Jun 2021

Penduduk pedalaman dibantu daftar vaksin

Oleh Baharom Bakar
  Shaharizukirnain (kiri) dan Rosli melihat proses suntikan vaksin seorang penduduk di kawasan pedalaman pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, Setiu, Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Shaharizukirnain (kiri) dan Rosli melihat proses suntikan vaksin seorang penduduk di kawasan pedalaman pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, Setiu, Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

SETIU: Seramai 2,711 penduduk pedalaman daerah ini sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama menerusi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 anjuran Majlis Daerah Setiu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata menerusi program itu masyarakat di kawasan pedalaman akan didaftarkan secara manual dan terus diberi suntikan dos pertama di lokasi program.

Program ini akan membantu selesaikan masalah penduduk di kawasan pedalaman yang sukar mendaftarkan nama melalui aplikasi MySejahtera.

"Setakat ini tiga program outreach vaksinasi sudah diadakan. Kita menyasarkan 43,600 penduduk daerah Setiu terutama mereka yang tinggal di pedalaman mendapat suntikan vaksin COVID-19 sebelum akhir Ogos menerusi program ini," katanya selepas lawatan program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Shaharizukirnain berkata, hampir 85 peratus penduduk daerah Setiu tinggal di kawasan pedalaman dan mereka sukar untuk mendaftarkan nama melalui aplikasi MySejahtera.

"Kita sudah berbincang dengan JKNT dan mereka bersetuju untuk terus membuat suntikan selepas penduduk mendaftarkan diri secara manual di lokasi Program Outreach Vaksinasi COVID-19," katanya.

Tiada ulasan: