Ahad, 13 Jun 2021

Maut terkena renjatan pagar elektrik

Rumah mangsa dipenuhi dawai elektrik dipercaya disambung daripada meter  rumah mengelilingi kebunnya di Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim
Rumah mangsa dipenuhi dawai elektrik dipercaya disambung daripada meter rumah mengelilingi kebunnya di Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemui mati terbaring di tepi rumahnya pagi tadi dengan seluruh badannya rentung dipercayai terkena renjatan pagar elektrik yang dibuatnya di keliling kebun bersebelahan rumahnya itu.

Mayat mangsa, Mokhtar Mat Nor, 56, yang dipercayai mati sejak tiga hari lalu ditemui jirannya, Mohd Razali Harun, 54, kira-kira jam 8 pagi dengan keadaan masih berasap dan dawai elektrik terbelit di kakinya.

Mohd Razali berkata, dia yang mahu keluar menoreh getah pagi tadi, terhidu bau busuk datang dari rumah mangsa di Kampung Star Baru, dekat sini, dan terus ke rumah itu untuk mencari jirannya.

"Sejak tiga hari lalu, saya tidak melihat mangsa yang biasa saya temui setiap petang sebelum kami ke masjid untuk solat Maghrib.

"Pagi tadi, saya terhidu bau busuk datang dari arah rumah mangsa dan terus ke rumahnya untuk meninjau apa yang berlaku.

"Saya terkejut menemui jiran mati terbaring dengan badannya hangus rentung dan masih berasap, manakala dawai elektrik dilihat terbelit di kakinya," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Mangsa dipercayai tersepak dawai elektrik itu ketika berada di luar rumahnya. Difahamkan, mangsa membuat sambungan dawai terus daripada meter elektrik rumahnya menjadi pagar mengelilingi kebunnya di situ.

Mohd Razali berkata, dia segera melaporkan kejadian itu kepada pihak berkaitan sebelum Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang memotong bekalan elektrik pada meter dan mengeluarkan dawai elektrik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

 Penduduk menunjukkan lokasi mayat mangsa rentung ditemui terbaring dengan kakinya terbelit dawai elektrik.- NSTP/ RAMLI IBRAHIM
Penduduk menunjukkan lokasi mayat mangsa rentung ditemui 
terbaring dengan kakinya terbelit dawai elektrik.- NSTP/ 
RAMLI IBRAHIM

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat.

"Mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik daripada pagar dawai yang dibinanya itu," katanya.

Tiada ulasan: