Selasa, 15 Jun 2021

Mangsa rogol didakwa edar, miliki dadah

Oleh ZAAIN ZIN
KEDUA-DUA tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine dua minggu lalu. - UTUSAN/ ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU: Wanita yang dipercayai dirogol pegawai polis minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bersama bekas suaminya atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 29 dan 28 tahun didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 61 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan bekas suami isteri itu didakwa telah ada dalam kawalan mereka dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 13.6 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mereka berdua di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong kira-kira pukul 4.20 petang pada 4 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. Mahkamah menetapkan tarikh 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, tertuduh wanita yang merupakan ibu kepada dua anak itu dipercayai dicabul sebelum dirogol seorang pegawai penyiasat narkotik berpangkat inspektor yang menyiasat kes dadah tersebut, minggu lepas.

Bagaimanapun, pegawai terbabit dilepaskan dengan jaminan polis semalam selepas ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes itu. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: