Ahad, 13 Jun 2021

Malaysia tak hantar jemaah haji tahun ini

 Athirah Huda Zalhe

Akur, hormati keputusan Arab Saudi hadkan ibadah untuk warganegara

BANGI – Malaysia tidak akan menghantar jemaah bagi musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ini susulan kerajaan akur dan menghormati keputusan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegaranya dan penduduk lain yang telah berada di negara itu, katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan Arab Saudi itu dibuat berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Dr Zulkifli berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat.

Katanya, makluman sama juga telah diterima oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussin daripada rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, selain kenyataan rasmi turut dikeluarkan kerajaan Arab Saudi petang ini.

“Saya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Raja Salman bin Abdulaziz dan kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memohon maaf kepada semua bakal haji negara kerana terpaksa menangguhkan ibadah berkenaan pada tahun ini.

“Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah sat daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan,” katanya.

Tiada ulasan: