Jumaat, 11 Jun 2021

Lapan rumah pengganas Abu Sayyaf dimusnahkan

 Oleh SURAIDAH ROSLAN

Yusoff Zaki mengetuai operasi perobohan rumah yang menjadi sarang persembunyian kumpulan pengganas Abu Sayyaf di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabah hari ini-Ihsan PDRM

BEAUFORT: Lapan lagi rumah yang menjadi sarang persembunyian kumpulan pengganas Abu Sayyaf dimusnahkan dalam satu operasi perobohan hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, usaha memusnahkan sarang persembunyian Abu Sayyaf itu adalah susulan daripada operasi perobohan yang pertama pada 21 Mei lalu.

Beliau berkata, sarang persembunyian kumpulan pengganas ini sukar dikesan pasukan keselamatan biarpun menerusi pemantauan udara kerana ia terletak di kawasan yang dikelilingi paya bakau.

“Rumah yang dimusnahkan ini dipercayai menjadi penempatan 38 orang warga Filipina termasuk lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf. 

“Kawasan penempatan ini dibina mengikut teknik perang gerila dan untuk masuk ke sini terpaksa menggunakan titi dan meredah kawasan paya bakau.

“Terdapat tiga perigi sedalam tiga meter yang menjadi sumber air utama di kawasan ini. Berdasarkan keadaan ini, mereka boleh berada di lokasi persembunyian ini bagi tempoh tiga hingga empat bulan tanpa perlu bantuan makanan dari luar,” katanya selepas operasi perobohan berhampiran Taman Sri Arjuna hari ini.

Yusoff Zaki turut meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan tentang sebarang aktiviti yang mencurigakan dan penempatan haram di kawasan masing-masing bagi membanteras kehadiran kumpulan pengganas yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha menghapuskan sarang persembunyian kumpulan pengganas Abu Sayyaf di daerah tersebut.

Usaha ini perlu bagi membanteras kemasukan kumpulan pengganas ini di Sabah dan usaha menghapuskan rumah-rumah yang menjadi tempat persembunyian mereka akan dimusnahkan menerusi fasa ketiga operasi perobohan ini.

Pada Mei lalu, dua sarang persembunyian kumpulan pengganas Abu Sayyaf dikesan menerusi operasi bersepadu khas yang dijalankan polis bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Pada 8 Mei, lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf termasuk sub ketua ditahan bersama 29 anggota keluarga termasuk kanak-kanak. Manakala, dalam operasi berikutnya pada 17 Mei, lima pengganas termasuk seorang lagi sub ketua ditembak mati semasa serbuan pasukan keselamatan Sabah.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: