Khamis, 10 Jun 2021

Langgar SOP di kilang : 59 diarah tutup, 75 dikompaun

SEBANYAK 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sejak 1 Jun lalu hingga semalam.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang tempoh tersebut telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada perlanggaran SOP.

‘’ Langkah ini dikuatkuasakan susulan kerajaan telah menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ketika ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga turut memaklumkan tiga taman perumahan di Temerloh iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) .

‘’Pelaksanaan berkuatkuasa mulai 12 Jun hingga 25 Jun itu dilakukan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 38 kes secara keseluruhan iatu 24 kes di Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya (6 kes) dan Taman Temerloh Makmur (8 kes) hasil daripada 407 ujian saringan dijalankan di ketiga-tiga lokaliti tersebut,’’ katanya.

Di Johor pula, kata beliau, Ladang Tereh Mill turut dikenakan PKPD bagi tempoh yang sama selepas sebanyak 24 kes positif  Covid-19 dilaporkan hasil daripada saringan ke atas 154 individu di lokaliti itu dengan kadar positiviti 15.6 peratus.

Seperti juga tiga taman perumahan Temerloh tersebut, pelaksanaan PKPD di ladang berkenaan bagi memastikan mereka berisiko dijangkiyi Covid-19 kekal berada dalam kawasan itu.

‘’Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Kuala Takin, Kuala Berang, Terengganu, Kampung Kolong 2 Kuching, Sarawak dan Lorong Pasir Putih, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, Sabah,’’ katanya.

Menurut Ismail Sabri, bagi Kampung Kuala Takin sehingga kini seramai 502 individu disaring dan daripada jumlah itu, 31 dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.7 peratus.

Kampung Kolong 2, Kuching pula terpaksa dilaksanakan PKPD selepas berlaku peningkatan kes ketara apabila 29 daripada 45 individu disaring disahkan positif dengan kadar positiviti 64.4 peratus.

‘’Di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1 Putatan pula, KKM mendapati peningkatan yang ketara apabil 16 daripada 17 individiu yang disaring, disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 95.12 peratus,’’ katanya.

Beliau juga memaklumkan seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu seramai 877 individu dikompaun, 28 direman manakala dua lagi dijamin.

Antara kesalahan yang direkod ialah tidak memakai pelitup muka (208), individu gagal merekod butiran diri daftar masuk premis (148), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (147), tiada penjarakan fizikal (123), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81), membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (83).

Tiada ulasan: