Sabtu, 26 Jun 2021

KKM: Vaksin Pfizer tetap pilihan utama untuk ibu mengandung

Malaysiakini

Vaksin keluaran Pfizer-BionNTech tetap menjadi pilihan pertama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk para wanita mengandung, menurut kementerian itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM Dr Nazrila Hairizan berkata, pihaknya akan cuba memastikan wanita mengandung mendapat vaksin Pfizer, sebelum beralih kepada vaksin AstraZeneca atau Sinovac yang telah pun diisytihar selamat untuk golongan itu.

"Di KKM, vaksin pilihan untuk ibu mengandung ialah Pfizer. Kita akan cuba pastikan untuk beri (vaksin) Pfizer kepada mereka.

"Tetapi di tempat-tempat yang mungkin tiada vaksin itu, vaksin-vaksin lain boleh digunakan," katanya ketika sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur hari ini.

Dalam garis panduan baru berhubung vaksinasi yang diumumkan semalam, KKM memaklumkan vaksin Astrazeneca dan Sinovac kini sesuai untuk diberikan kepada ibu yang sedang menyusukan anak dan yang sedang hamil antara 14 hingga 33 minggu.

Menurut Nazrila, kesan sampingan ketiga-tiga vaksin adalah sama bagi indidivu yang sedang mengandung atau tidak.

"Setakat yang kita tahu sekarang, kesan sampingan vaksin-vaksin ini adalah sama...Apa yang kita tahu setakat ini ia selamat, tetapi bukti lebih (cenderung) kepada Pfizer.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata setakat ini seramai 109,607 wanita mengandung telah mendaftar untuk vaksinasi.

Daripada jumlah itu, seramai 11,663 orang dijangka bersalin pada Ogos, katanya lagi.

"Setakat ini, lebih 10,000 orang telah diberi temu janji dengan nota yang mereka dijangka bersalin (tak lama lagi)," kata Khairy.

Tiada ulasan: