Sabtu, 12 Jun 2021

Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 tawar hadiah hampir RM240,000

Manzaidi Mohd Amin
sspn01
Ahmad Dasuki Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 kepada pelanggan dan penyimpan baharu dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai kira-kira hampir RM240,000.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen itu direalisasikan bagi merancakkan lagi usaha pembudayaan penabungan, yang julung kali diadakan menerusi akaun rasmi Facebook PTPTN @PTPTNOfficial.

Kata beliau, kempen itu mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melawan ancaman Covid-19, dan pada masa sama menggalakkan ibu bapa terus mengutamakan penabungan untuk masa depan pendidikan anak-anak walau dalam apa jua situasi yang dihadapi oleh keluarga dan juga negara.

sspn02
Keseluruhan hadiah ditawarkan PTPTN hampir RM240,000 
untuk dimenangi.

“Norma baharu kini menuntut amalan kerja dari rumah, pembelajaran atas talian dan duduk di rumah. Hal ini, sedikit sebanyak telah membantu mengurangkan perbelanjaan tertentu seperti kos perjalanan, hiburan dan juga aktiviti sosial

“Oleh itu, sangat wajar bagi ibu bapa untuk merancang perbelanjaan serta pengurusan keluarga sebaiknya, di samping memastikan sebahagian daripada perancangan kewangan itu melibatkan simpanan untuk masa depan anak-anak.

“Hakikatnya, simpanan kini adalah satu keperluan sebagai persediaan kita menghadapi hari-hari mendatang terutama dalam waktu krisis pandemik Covid-19,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 yang diadakan secara atas talian, hari ini.

Menurut Ahmad Dasuki, kempen itu terbuka kepada pelanggan PTPTN dan pengikut FB PTPTNOfficial yang merupakan pendeposit SSPN-i yang membuka akaun dan membuat penambahan deposit dalam tempoh promosi iaitu dari 1 Jun hingga 30 September 2021.

Kata beliau, menariknya kempen kali ini iaitu pelbagai hadiah lumayan bernilai hampir RM240,000 menanti pelanggan.

“Untuk menyertainya sangat mudah, pelanggan hanya perlu membuka akaun atau membuat deposit tambahan sekurang-kurangnya RM200 dalam tempoh kempen dan mengekalkannya selama tiga bulan selepas tamat tempoh kempen iaitu bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2021.

“Setiap simpanan bernilai RM50 akan melayakkan pendeposit mendapat satu cabutan dan penyertaan adalah secara automatik,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kategori cabutan yang diperkenalkan bagi kempen kali ini, iaitu Kategori Silver, Kategori Gold dan Kategori Platinum dengan syarat kelayakan, setiap pendeposit kategori adalah berdasarkan simpanan bersih dalam tempoh kempen.

“Lagi banyak anda menyimpan, lebih tinggi peluang untuk menenangi hadiah yang sangat lumayan ini,” ujarnya.

sppn03
Hadiah hebat yang ditawarkan PTPTN menerusi Kempen Stay 
Safe & Win SSPN-i 2021.

Beliau berkata, bagi Kategori Silver, pendeposit yang mempunyai simpanan bersih RM200 sahaja dalam tempoh promosi akan layak menyertainya dengan hadiah ditawarkan ialah sebuah motosikal Yamaha Y15 ZR bagi pemenang pertama, sebuah komputer riba untuk pemenang kedua, baucar barangan kemas RM2,000 untuk pemenang ketiga dan simpanan tunai RM200 dalam bentuk akaun SSPN-I kepada 10 pemenang sagu hati.

Kategori Gold pula, hadiah pertama sebuah kereta Myvi 1.55cc, kedua sebuah komputer riba, ketiga baucar barangan kemas RM5,000 dan 10 saguhati akaun SSPN-i bernilai RM500.

Kata beliau, untuk menyertai kategori ini pendeposit perlu mempunyai simpanan bersih RM8,000 dalam tempoh promosi dan pelanggan boleh membuka akaun bermula hari ini.

Bagi Kategori Platinum, pendeposit yang layak menyertainya mesti mempunyai simpanan bersih sekurang-kurangnya RM15,000 dalam tempoh promosi.

“Hadiah pertama ditawarkan bagi kategori ini ialah sebuah kereta Proton X-50, pemenang kedua akan menerima baucar barangan kemas bernilai RM10,000, ketiga sebuah komputer riba dan 10 saguhati tunai RM800 dalam bentuk akaun SSPN-i.

“Bagi mereka yang belum membuka akaun, jangan berlengah lagi. Anda boleh buka dan nikmati pelbagai kelebihan yang kami tawarkan seperti pelepas cukai sehingga RM8,000, dividen kompetitif dan perlindungan Takaful Ringgit ke Ringgit.

“SSPN-i juga merupakan skim simpanan patuh syariah yang disahkan oleh Islamic Banking And Finance Institute Malaysia. Oleh itu, anda boleh menyimpan tanpa ragu-ragu,” katanya.

Katanya, dengan hadiah lumayan yang ditawarkan itu, beliau yakin akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan PTPTN dan pengikut FB PTPTNOfficial. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: