Sabtu, 26 Jun 2021

Kasut Converse berusia 104 tahun terpaksa dijual kerana pandemik

Terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara, seorang pemuda dari Kota Bharu, Kelantan, terpaksa menjualkan sepasang koleksi kasut Converse model pertama di dunia yang dihasilkan pada tahun 1917 dengan harga RM40,800.

Pengumpul kasut vintaj dan antik, Wan Irfayuinazain Wan Ab Aziz, 31, berkata, pada mulanya, dia berbelah bahagi untuk menjual kasut kesayangan berusia 104 tahun itu, namun desakan ekonomi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ini, hasrat untuk menyimpan kasut Converse Non Skid itu terpaksa dilupakan.

“Pada tahun 2018, saya membeli kasut ini dengan pasangan suami isteri yang menetap di Amerika Syarikat (AS) apabila mereka menghubungi saya melalui Facebook selepas melihat hantaran saya yang berkongsi maklumat tentang sejarah-sejarah kasut vintaj.

“Kasut yang disimpan sejak tahun 1989 itu dijual kepada saya kerana mereka mengalami masalah kesihatan yang teruk dan memerlukan wang untuk sokongan hidup oleh sebab tidak mempunyai anak untuk bergantung hidup.

“Lalu, sebagai pengumpul kasut vintaj dan antik, saya membelinya dengan harga puluhan ribu oleh kerana nilai sejarah kasut yang menarik dan agak sentimental untuk disimpan.

“Tetapi, dalam keadaan sekarang, ekonomi tidak menentu, jadi dengan berat hati, saya terpaksa menjual salah satu koleksi kesayangan kasut saya dengan harga RM 40,800,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod Wan Irfayuinazain sebelum ini bekerja di Jepun dalam sektor pelancongan, sebelum kembali ke Malaysia susulan pandemik Covid-19. 

Kisah di sebalik kasut vintaj

Dia yang mengumpul kasut vintaj sejak tahun 2006 berkata, kasut tersebut akan dijual bersama dengan sepasang seluar pendek dan pelindung lutut bola keranjang yang wujud sejak tahun 1916 dan pernah dipakai oleh pemain bola keranjang daripada AS suatu ketika dahulu.

“Masa saya beli kasut ini, pasangan suami isteri daripasa AS tu menjualnya sekali dengan seluar pendek dan pelindung lutut.

“Dan memang ada satu gambar pemain bola keranjang di United States memakai seluar pendek dan pelindung lutut serta kasut yang sama.

“Itulah nilai yang berharga tentang kasut ini, apabila ada sejarah dan kisah di sebaliknya,” katanya.

Katanya, dia berharap agar pemilik seterusnya yang akan membeli kasut ini merupakan orang Malaysia dan menyimpan kasut tersebut dengan baik kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

“Kalau bukan sebab PKP, memang saya tidak akan jual kasut tersebut lebih-lebih lagi dengan harga yang rendah sebab bergantung kepada orang ramai, harga yang saya tawarkan adalah murah jika dibandingkan dengan nilai sebenar kasut itu.

“Tetapi, niat saya jual kasut tersebut adalah kerana desakan ekonomi sebab saya perlukan duit jumlah nilai yang dijual.

“Dan kepada pemilik seterusnya, saya memang berharap agar pembeli datang daripada orang Malaysia sendiri sebab kalau kira pun, kasut Levi’s yang pertama di dunia memang sudah ada di Malaysia,” jelasnya lagi.

Sementara itu dalam hantaran di Facebooknya, Wan Irfayuinazain berkata, bagi sesetengah orang yang kurang faham atau kurang minat dalam perihal ini akan meremehkan dan mengkeji.

Namun katanya, bagi pencinta atau pengkaji sesebuah kasut vintaj, ini bukan sekadar kasut sebaliknya satu sejarah.

"Apa yang saya tahu, ada sepasang lagi kasut ini berada di dalam Museum Converse di Boston dengan simpanan rapi pihak mereka. Jadi dengan ini, saya menawarkan untuk collector atau peminat atau pengkaji sejarah kasut bagi memiliki kasut ini pula.

"Bagi pembeli (kasut ini) saya akan hadiahkan lagi tiga pasang kasut Converse dari tahun 1950,1960 dan 1970," jelasnya.

Tiada ulasan: