Jumaat, 11 Jun 2021

Kanak-kanak 13 tahun antara 73 korban Covid-19

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Malaysia kekal merekodkan kematian akibat Covid-19 yang tinggi iaitu 73 kematian melibatkan 44 warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus kekal menjadi penyumbang kes kematian tertinggi iaitu 29 kes, 11 kes di Johor, lapan kes di Negeri Sembilan, masing-masing empat kes di Kedah, Kuala Lumpur, Labuan, dan Pulau Pinang, tiga kes di Pahang, dua kes di Kelantan, serta masing-masing satu kes di Melaka, Sabah, Terengganu, dan Perak.

“Seramai 44 lelaki termasuk dua warga asing dan 29 wanita termasuk satu warga asing berusia antara 13 hingga 104 tahun dengan lima kes meninggal di rumah (BID) dan lima kematian tidak mempunyai latar belakang penyakit.

“Baki 68 pesakit mempunyai pelbagai penyakit antaranya limfoma, kencing manis, darah tinggi, kanser, hati, paru-paru kronik, jantung, tiroid, pituitar, buah pinggang kronik, kanser, asma, obesiti, Down’s syndrome, strok, tuberkulosis dan Systemic Lupus Erythematosus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia juga mencatatkan peningkatan kes sembuh Covid-19 iaitu 7,325 kes sekali gus mengatasi 5,671 kes positif manakala kes aktif menunjukkan penurunan iaitu 79,848 kes berbanding semalam, 81,575 kes.

Katanya, sebanyak 911 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 462 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala Selangor kembali merekodkan penurunan kes apabila mencatatkan 1,510 berbanding semalam, 2,291 kes.

“Selain Selangor yang menjadi penyumbang tertinggi kes positif harian, Kuala Lumpur (769), Sarawak (631), Negeri Sembilan (593), Johor (524), Kedah (309), Kelantan (262) dan Sabah (233).

“Baki negeri merekodkan kes bawah 200 kes iaitu Melaka (184), Pulau Pinang (166), Perak (143), Pahang (112), Terengganu (108), Labuan (106) manakala Putrajaya (18) dan Perlis, tiga kes,” katanya.

Mengulas mengenai 22 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja kekal tertinggi iaitu 18 kluster diikuti tiga komuniti dan satu keagamaan.

Kluster tempat kerja katanya, tujuh kluster di Selangor iaitu Industri Kampung Jaya melibatkan Gombak dan Petaling (19); Jalan Dua Olak Lempit di Kuala Langat (14); Jalan Perindustrian Balakong Jaya Dua di Hulu Langat (15); Jalan Tiga Salak Tinggi di Sepang dan Hulu Langat (70); Jalan Tanjung Klang melibatkan Klang, Kuala Langat, dan Petaling (31); Tapak Bina Alam Perdana di Kuala Selangor (24) dan Jalan SS Lapan Empat melibatkan Putrajaya; Gombak, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Klang, Sepang, Kuala Lumpur serta Lembah Pantai, Kuala Lumpur (71).

“Enam di Johor, Ploteknologi melibatkan Muar dan Tangkak (49); Jalan Besar Batu Enam di Muar (6); Jalan Bukit Satu Zink di Johor Bahru (30); Jalan Bandar Pasir
Gudang di Johor Bahru (10); Jalan Seri Austin di Johor Bahru (9) dan Jalan Lee Bah Chai di Muar (46).

“Pulau Pinang tiga kluster, Jalan Perusahaan Maju Empat melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan (19); Lebuh Sungai Tiram Satu melibatkan Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Timur Laut (18); Jalan Besar Perai melibatkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara (10),” katanya.

Tambahnya, dua baki kluster tempat kerja iaitu Tapak Bina Jalan Kolam Air di Kepong, Kuala Lumpur (131) dan Dah Pekan Baru di Kuala Muda, Kedah (29).

“Tiga kluster komuniti, Bali Pie melibatkan Subis dan Miri, Sarawak (62) dan Jalan Samarakan di Tatau, Sarawak (49) serta Kampung Lakai di Jelebu, Negeri Sembilan (50).

“Kluster terakhir adalah satu kluster keagamaan iaitu Kampung Lobou di Kota Kinabalu, Sabah (15),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: