Khamis, 17 Jun 2021

Jantina ketiga pula, Jakim tuntut penjelasan Suhakam – Ahmad Marzuk

APA keperluan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membuat penyelidikan jantina ketiga?

Itu respons umum yang resah dengan tujuan penyelidikan tersebut kerana bukan sahaja Islam, malah sains selama ini pun hanya menyebut jantina ada dua, lelaki atau perempuan.

Jika ada pun ketidaktentuan, masalah itu perlu diuruskan bukan mewujudkan pula jantina ketiga.

Justeru, apabila Suhakam mahu mencari penyelidik mengkaji kewujudan gender ketiga, ini sudah tentu menimbulkan kegusaran awam.

Selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antara yang bersuara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Menurut Ahmad Marzuk, Jakim sudah berhubung dengan Suhakam susulan iklan mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan jantina ketiga yang disiarkan suruhanjaya itu.

Setakat ini, katanya, Suhakam masih belum memberikan sebarang jawapan tetapi dalam situasi ini Jakim berhak menerima penjelasan kerana sudah menjadi tugas dan peranan jabatan itu untuk menangani sesuatu isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.

“Lagi pula, kita tidak mahu data-data yang dikumpulkan disalah guna untuk memberi gambaran realiti sosial yang salah, memandangkan matlamat kajian secara jelas adalah berat sebelah, iaitu ke arah memberi pengiktirafan kepada jantina ketiga,” katanya menerusi media sosial beliau.

Ahmad Marzuk juga memohon agar Suhakam jujur dalam menentukan kajian yang lebih penting dalam merealisasikan hak asasi manusia di Malaysia.

“Yang lebih utama, hormatilah Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat majoriti Islam yang berpegang teguh dengan agama dan nilai moral,” katanya.

Tegas Ahmad Marzuk, kenyataan Pesuruhjaya Suhakam Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus bahawa isu transgender adalah satu ‘medical condition’ yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu individu itu seumur hidup adalah sangat mengecewakan dan jelas menyimpang daripada fakta sebenar serta ajaran Islam.

Menurutnya, hujah yang menyatakan tidak boleh menidakkan hak asasi individu itu semata-mata kerana dia dilahirkan sebagai transgender dengan ‘jiwa’ bertentangan dengan fitrahnya, sangat sukar untuk diterima akal.

Katanya, ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrah perlu diuruskan supaya ia tidak merosakkan diri dan masyarakat.

“Sekiranya semua perkara boleh dilakukan dengan menggunakan hujah ‘jiwa’ nescaya huru-hara dan kucar-kacir dunia kerana kita perlu meraikan segala jenis benda haram yang menjadi kecenderungan manusia,” katanya.

Tiada ulasan: