Ahad, 27 Jun 2021

Janji temu suntikan ibu mengandung diutamakan

KUALA LUMPUR: Lebih banyak janji temu untuk suntikan vaksin akan diberikan kepada ibu mengandung mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh bersalin (EDD).

Inisiatif ini diharap dapat menyumbang secara positif kepada kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mencapai tahap imuniti kelompok sesegera mungkin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata ia selaras saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya ibu mengandung diberi vaksin dalam jangka kandungan antara 14 hingga 33 minggu.

Jelasnya, penjadualan janji temu akan dilakukan menerusi sistem mengikut maklumat yang diberikan pengguna, iaitu ibu mengandung ketika mendaftar atau mengemas kini profil mereka.

"Hingga malam tadi (kelmarin), kita menerima 109,607 pendaftaran bagi ibu mengandung di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera, yang mana satu ciri baharu ditambah dalam penambahbaikan aplikasi ini mulai 1 Jun lalu.

"Daripada jumlah ini, seramai 11,663 dijangka bersalin pada Ogos nanti, justeru mereka diberikan keutamaan mengikut EDD masing-masing. Setakat ini, lebih 10,000 diberi janji temu dengan nota Expectant Mother (bakal ibu) pada perincian tarikh suntikan vaksin mereka.

"Pada hujung minggu ini sahaja, kira-kira 6,000 ibu mengandung dijadualkan janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi mereka," katanya pada sidang media, semalam.

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi meluangkan masa hampir sejam untuk meninjau kelancaran operasi pemberian suntikan imunisasi kepada ibu mengandung di PPV MITEC, di sini.

Yang turut hadir Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Khairy Jamaluddin meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada ibu mengandung di PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Khairy Jamaluddin meninjau proses pemberian vaksin COVID
-19 kepada ibu mengandung di PPV Pusat Pameran dan 
Dagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. 
- NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pada masa sama, Khairy berkata vaksinasi fasa kedua PICK yang sedang berlangsung ketika ini akan terus diperhebatkan di semua negeri untuk membolehkan Malaysia beralih ke fasa ketiga bagi kawasan atau daerah yang selesai memberikan suntikan pelalian kepada warga emas.

"Program jangkau luar komuniti turut dipergiatkan demi memastikan tiada kumpulan yang tertinggal. Semua inisiatif yang dilakukan ini selari sasaran program yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara untuk mencapai imuniti kelompok sesegera mungkin," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy, berkata PPV mega itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam, setiap hari termasuk hujung minggu demi memastikan kelancaran PICK dan memacu prestasi negara ke arah mencapai sasaran yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, PPV MITEC menyediakan rangkaian kemudahan dan bantuan kepada ibu mengandung yang hadir untuk menerima suntikan vaksin, selepas mereka mendapat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

"MITEC mempunyai 25 kakitangan yang bertugas mengikut dua syif bagi membantu memastikan kelancaran operasi, khususnya membabitkan perancangan gerak dan atur setiap peringkat program imunisasi.

"Operasi tujuh hari seminggu di MITEC juga dibantu sukarelawan dan petugas lain, menjangkau sekitar 300 orang, tidak termasuk petugas yang diberi peranan untuk menjaga aspek kebersihan serta keselamatan.

"Sejak dibuka pada 31 Mei lalu, kadar pemberian suntikan vaksin di PPV MITEC dapat ditingkatkan daripada sekitar 3,000 dos kepada hampir 5,000 dos sehari. Keupayaan itu akan terus ditambah supaya mencapai 6,000 dos sehari Isnin ini," katanya.

Bagi menjamin aspek keselesaan dan keselamatan ibu mengandung, Dora berkata, MITEC menyediakan kerusi roda, perkhidmatan pengantara menggunakan bugi dan 1,400 ruang parkir, selain petugas sokongan.

Sistem jana kuasa sokongan dan logistik khusus turut ditempatkan di pusat dagangan itu bagi memastikan kualiti vaksin, khususnya Pfizer yang memerlukan aspek penyimpanan ultra sejuk tidak terjejas sekiranya berlaku insiden litar pintas.

"Badan Bertindak Imunisasi COVID-19, petugas MITEC dan pasukan perubatan bekerjasama bagi memastikan semua keperluan aspek logistik sentiasa dipenuhi," katanya.

Tiada ulasan: