Isnin, 14 Jun 2021

Isu minyak masak dikhuatiri dorong harga makanan naik

KUALA KANGSAR: Isu kenaikan harga minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) dan kesukaran mendapatkannya dalam peket 1kg bersubsidi, dikhuatiri boleh mendorong peningkatan harga produk lain, terutama berasaskan makanan.

Ini berikutan sebilangan peniaga makanan memerlukan penggunaan kuantiti minyak masak yang banyak, sekali gus terpaksa menampung kos lebih tinggi dalam penyediaan produk jualan mereka.

Peniaga gerai ayam goreng, Mohamad Azim Ibrahim, 26, berkata walaupun masih dapat membeli minyak masak peket 1kg bersubsidi di kedai runcit sekitar daerah ini, bekalannya agak terbatas.

Katanya, beliau memerlukan 7kg minyak masak sehari bagi menggoreng kira-kira 500 ketul ayam yang dijual pada harga RM1 setiap satu.

"Banyak kali harga (minyak masak dalam botol 5kg) naik sehingga saya terpaksa memilih penggunaan minyak masak dalam peket 1kg bersubsidi.

"Bagi saya, bekalan minyak masak bersubsidi itu wajar diutamakan kepada peniaga kecil seperti saya.

"Ini kerana kami perlu membelinya setiap hari berbanding pengguna di rumah," katanya ketika ditemui.

Peniaga ayam gunting, Akhirudin Salleh, 57, tidak menolak kemungkinan sebilangan peniaga makanan terpaksa menaikkan harga jualan jika isu bekalan minyak masak ketika ini berterusan.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau berpendapat selain peniaga kecil, golongan B40 juga perlu diberikan keutamaan untuk membeli minyak masak bersubsidi.

"Kita perlu turut mengambil kira keperluan golongan B40 kerana bukan semua orang mampu membeli minyak masak tidak bersubsidi," katanya yang menggunakan kira-kira 10kg minyak masak sehari untuk jualannya.

Sementara itu tinjauan di sebuah pasar raya, di sini, mendapati tiada bekalan minyak masak peket 1kg, sebaliknya rak jualan dipenuhi stok botol 5kg.

Seorang kakitangan pasar raya itu yang enggan namanya disiarkan berkata, ketiadaan bekalan peket 1kg itu berlaku sejak dua minggu lalu, namun stok baharu dijangka tiba dalam minggu ini.

Tiada ulasan: