Rabu, 23 Jun 2021

Ingkar SOP meningkat, Ismail Sabri nasihat tak boleh selesa

ISMAIL SABRI foto FACEBOOK MKN

KES harian jangkitan COVID-19 negara pada hari ini meningkat sedikit kepada 4,743 kes.

Buat hari kedua berturut-turut, penularan baharu itu berada di bawah angka 5,000.

Semalam, negara mencatatkan sebanyak 4,611 kes baharu – terendah sejak sekatan pergerakan penuh dilaksanakan awal bulan ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan supaya semua pihak tidak boleh selesa meskipun keadaan semasa menunjukkan penurunan.

Kata beliau, ia kerana trend penularan kes dilihat masih tidak stabil.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) perlu dikekalkan oleh segenap lapisan masyarakat.

“Amalan pematuhan SOP pada setiap masa amat penting kerana kita boleh mengurangkan penularan jangkitan sekali gus melandaikan lengkuk COVID-19.

“Justeru, saya berharap semua pihak memainkan peranan ini termasuk meningkatkan kawalan kendiri untuk keselamatan dan kesihatan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peringatan diberikan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu ada benarnya.

Ini kerana jumlah individu ditahan kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan kembali meningkat.

Selepas beberapa hari merekodkan jumlah di bawah angka 900, seramai 959 individu telah ditahan akibat ingkar pematuhan SOP semalam.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 923 telah dikenakan kompaun manakala 36 lagi direman.

Kata beliau, kesalahan tertinggi yang direkodkan semalam melibatkan 251 individu tidak menjaga penjarakan fizikal.

Beliau memberitahu, seramai 198 individu pula dikesan cuba merentas negeri/daerah tanpa kebenaran selain makan di dalam premis.

Ismail Sabri berkata, 144 lagi gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis manakala 134 ditahan kerana tidak memakai pelitup muka.

“Seramai 84 individu tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan; 64 membawa penumpang berlebihan; 19 premis gagal mematuhi arahan; empat ditahan disebabkan aktiviti di pusat hiburan dan 61 lagi atas lain-lain kesalahan.

“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 91,112 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,194 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 19,653 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelas beliau.

Tiada ulasan: