Selasa, 15 Jun 2021

Ibu tunggal rugi hampir RM80,000 terpedaya cinta di Facebook

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seorang ibu tunggal kerugian RM78,214 gara-gara terpedaya dengan cinta dalam talian, selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga Nigeria di laman sosial Facebook pada akhir bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata, mangsa yang berusia 49 tahun yang tinggal di Alor Gajah, dijanjikan hadiah berupa barang kemas, kasut, telefon bimbit, pakaian dan wang tunai oleh suspek, yang menggunakan nama Mahmudin Jafaar di Facebook sebagai tanda perkenalan mereka pada 28 Mei lepas.

Beliau berkata, wanita tersebut yang merupakan kakitangan kerajaan itu kemudian menerima panggilan telefon pada hari sama, daripada individu mendakwa dari sebuah syarikat penghantaran menyatakan terdapat bungkusan daripada kenalan mangsa, dan memintanya membuat pembayaran bagi menuntut barangan berkenaan.

“Atas dasar cinta dan percaya kepada suspek, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM78,214 ke dalam tiga akaun bank berbeza atas pelbagai alasan, seperti bayaran cukai kastam antara 28 Mei hingga 8 Jun lepas.

“Bagaimanapun selepas bayaran berkenaan dibuat, suspek masih meminta wang daripada mangsa namun wanita tersebut tidak mengikut arahan tersebut, kerana menyedari dirinya telah ditipu untuk mendapatkan hadiah yang tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengulas lanjut, katanya susulan laporan berkenaan, seorang lelaki warga Nigeria berusia 38 tahun ditahan menerusi Op Tiong di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Ahad (13 Jun) kira-kira pukul 12 tengah hari.

Sundra berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 14 kad ATM pelbagai bank, tiga telefon bimbit beserta sim kad pelbagai jenama, sekeping sampul kurier J&T Express atas nama Timothy White dan satu pasport warganegara Nigeria.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh sejak Mac tahun lepas itu, ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek 'love scam' itu dipercayai mempunyai rakan subahat dan polis sedang memburu mereka,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: