Ahad, 27 Jun 2021

Hina institusi raja: Pemilik akaun Facebook disyaki ada di Jerman


Polis mencari pemilik Facebook Ganesparan Nadaraja kerana memuat naik video menghina institus Diraja dan kenyataan berbaur hasutan perkauman yang jelik.

Polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan, Ganesparan Nadaraja, yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan, yang tular di media sosial, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kenyataan itu dilihat boleh menyebabkan kegentaran awam serta menggugat keamanan negara.

Katanya, N Ganesparan, 39, yang kini dipercayai berada di Jerman, sedang dicari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ mengendalikan siasatan, selepas satu rakaman video bertajuk ‘Racist in Vacine Malaysia’ dimuat naik di laman Facebook Ganesparan Nadaraja.

“Di dalam video itu seorang suspek mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama ‘Sinovac’ diberikan kepada golongan bukan muslim manakala muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama ‘Pfizer’,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya klip video berdurasi lapan minit 54 saat itu telah menerima 550 respon, 247 komen, 395 perkongsian serta kira-kira 10,000 tontonan, selain turut dikesan ditularkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Katanya sejak tahun 2018 hingga kini, polis turut membuka 18 kertas siasatan terhadap lelaki itu di bawah Akta Hasutan 1948 sama dan kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 298A, Seksyen 500, Seksyen 504 serta Seksyen 505(b).

“Semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati pergerakan keluar terakhirnya ialah pada 2 November 2017 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan status pasportnya telah dibatalkan pada 25 November tahun lepas.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai lelaki itu untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: