Selasa, 15 Jun 2021

Doktor lelaki ditolak, cuba ditumbuk

Oleh Norzamira Che Noh

KLANG: Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian mencederakan orang menggunakan pisau serta perselisihan faham membabitkan pegawai perubatan sebuah hospital di Klang pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kejadian pertama berlaku pada jam 6 Jun yang mana seorang doktor lelaki ditolak serta cuba ditumbuk oleh seorang lelaki tempatan.

"Punca kejadian disebabkan salah faham mengenai punca kematian ibu lelaki terbabit serta kegagalan pihak hospital memaklumkan keadaan sebenar pesakit sehingga menimbulkan keraguan kepada waris.

"Difahamkan ibu lelaki berkenan sebelum ini dirawat sebagai pesakit biasa dan tidak mempunyai sebarang tanda sebagai pesakit COVID-19. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Insiden kedua pula berlaku pada 9 Jun sekitar jam 6.30 petang di wad yang menempatkan pesakit COVID-19 yang mana seorang lelaki berusia 37 tahun secara tiba-tiba bertindak mengambil pisau memotong buah dan menikam seorang pesakit lain di perut. Suspek dipercayai dalam keadaan tidak waras ketika kejadian itu berlaku.

"Mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan sudah menjalani pembedahan manakala suspek dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada Jumaat lalu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan polis sedang memburu lima lelaki yang disyaki terbabit kes samun bersenjata di sebuah pejabat di Klang, dua hari lalu.

Shamsul Amar berkata, dalam kejadian 3 pagi 12 Jun itu, lapan lelaki meluru masuk ke pejabat itu dan terus memukul seorang pembantu kedai menggunakan senjata seperti batang besi, rantai besi dan kerusi.

"Suspek turut mengambil dua rantai emas milik mangsa serta kad mesin juruwang automatik (ATM) dan membuat transaksi memindahkan sejumlah wang daripada akaun mangsa," katanya kenyataan.

Pada 10.50 malam hari sama, polis memberkas tiga lelaki di sekitar kawasan Klang yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

"Dua daripada suspek masing-masing didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau," katanya sambil menambah semua suspek direman lima hari dari 13 hingga 17 Jun ini.

Menurut beliau polis turut merampas satu batang besi vakum, satu penyahkod kamera litar tertutup dan sebuah telefon bimbit daripada kesemua suspek.

Tiada ulasan: