Khamis, 10 Jun 2021

Doktor gigi turut digerak tingkat kadar vaksinasi

Oleh AMREE AHMAD
DR. ADHAM BABA

PUTRAJAYA: Graduan sekolah perubatan di seluruh negara termasuk doktor gigi bakal digerakkan untuk membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kementeriannya juga menggerakkan doktor pelatih di hospital awam ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang kekurangan tenaga.

“Kita juga akan memanggil mereka (kakitangan perubatan) yang sudah pencen atau tamat perkhidmatan awal untuk memberi tumpuan bagi tolong negara dalam program vaksinasi.

“Begitu juga graduasi membabitkan doktor, doktor gigi, jururawat dan pembantu perubatan akan diberi latihan serta lesen amalan untuk bertugas di PPV dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, secara maya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, langkah itu diharap membantu negara mencapai kadar vaksinasi yang tinggi dan seterusnya imuniti berkelompok 80 peratus menjelang akhir tahun.

Pada masa sama ujarnya, pelajar pelatih perubatan yang sudah mencapai tahap ‘penempatan’ juga akan ditugaskan untuk mengurus kes Covid-19 di pusat pemantauan seluruh negara.

Mengulas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu, beliau bersyukur usaha itu sudah mula mendatangkan banyak hasil.

“Dua indikator penting menunjukkan penurunan iaitu kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) peringkat nasional kini turun kepada 0.96 dan begitu juga dengan jumlah kes harian,” katanya.

Sehubungan itu, pihak kementerian tersebut berpuas hati dan menyifatkan PKP 3.0 yang lebih tegas kali ini amat perlu untuk terus membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Namun jelasnya, kes baharu masih lebih 5,000 sehari dengan semalam ialah 6,871 kes berbanding nilai ambang disasarkan iaitu purata 4,000 kes ke bawah dalam tempoh tujuh hari.

“Kita merekodkan penurunan kes harian yang meyakinkan dan ia menunjukkan PKP penuh mendatangkan hasil tetapi, kita memohon masyarakat masih patuh norma baharu,” jelasnya.

Pada masa sama, Adham berkata, berdasarkan penilaian penularan jangkitan dengan kapasiti negeri yang memberi maklum balas bagi tempoh 23 Mei hingga 5 Jun lalu masih tinggi.

“Sebanyak 12 negeri melaporkan kadar yang agak tinggi kecuali Pahang, Perak dan Putrajaya pula dengan mempunyai kapasiti maklum balas yang masih terhad,” tambah beliau lagi. – UTUSAN

Tiada ulasan: