Khamis, 24 Jun 2021

Buka DUN bercanggah dengan darurat diisytiharkan kerajaan, bekas hakim beri amaran kepada negeri

 Farhira Farudin

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram berikan peringatan susulan beberapa pengumuman negeri untuk membuka DUN pada Ogos depan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram memberi amaran kepada negeri-negeri agar tidak bercanggah dengan sebarang keputusan Putrajaya dengan mengumumkan pembukaan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum perintah darurat berakhir.

Sri Ram berkata keputusan sedemikian hanyalah sia-sia jika perintah darurat yang dijadualkan berakhir 1 Ogos depan dilanjutkan susulan keadaan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Keputusan akhir terletak di tangan Kabinet persekutuan. Negeri-negeri tak boleh bercanggah dengan keputusan Kabinet persekutuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Peringatan beliau itu disuarakan selepas beberapa siri pengumuman kerajaan negeri termasuk Sultan Johor hari ini yang memberikan perkenan DUN negeri itu bersidang pada 12 Ogos depan.

Langkah itu dilihat sejajar dengan gesaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang mahu sidang Parlimen dan DUN diadakan secepat mungkin.

Raja-Raja Melayu turut menyokong pandangan Agong supaya Parlimen bersidang pada tarikh terdekat selain mahu perintah darurat ditamatkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada 1 Ogos depan.

Kenyataan Raja-Raja Melayu mencetuskan perbahasan mengenai kuasa sultan, walaupun beberapa pakar undang-undang sepakat mengatakan istana tidak memiliki kuasa untuk mengarahkan sidang Parlimen diadakan.

Sri Ram, yang pernah berkhidmat di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah antara pegawai kanan undang-undang yang baru-baru ini mengingatkan bahawa Agong dalam sistem raja berperlembagaan adalah tertakluk kepada nasihat perdana menteri dan Kabinet dalam menjalankan tugasan rasminya seperti yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pendirian beliau itu turut dipersetujui bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad dan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali, kedua-duanya sepakat mengatakan Agong mesti bertindak mengikut nasihat perdana menteri.

Sri Ram hari ini berkata persidangan DUN tidak boleh diadakan di bawah Undang-Undang Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) Ordinan 2021, yang menyatakan peraturan mengenai perintah darurat yang dikuatkuasakan pada Januari lalu.

Tiada ulasan: