Sabtu, 12 Jun 2021

Belum ada NGO Malaysia dibenarkan masuk Gaza

Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN

PETALING JAYA: Belum ada sa­tupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan misi bantuan kemanusiaan termasuk dari Malaysia dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang kini berada di wilayah tersebut ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, biarpun Semenanjung Gaza berada dalam keadaan baik dan tenang serta tiada serangan susulan oleh tentera rejim Zionis, kebanyakan NGO bersama bantuan masih ‘terperap’ di Kaherah, Mesir.

“NGO tidak boleh masuk di­sebabkan oleh sekatan daripada kerajaan Mesir dengan alasan keselamatan di Sinai dan sebagainya. Itu juga adalah satu-satunya jalan untuk masuk melalui sempadan Rafah di selatan Gaza.

“Sekiranya di utara, ada sempadan Erez, tetapi orang Malaysia tidak dibenarkan masuk ke­rana perlu melalui Israel dan kita tidak mempunyai hubu­ngan diplomatik dengan mereka,” katanya.

Muhammad Nadir berkata, kebanyakan NGO sedang berusaha untuk memasuki Gaza bagi menyampaikan bantuan khususnya pembangunan semula wilayah Palestin yang teruk dibedil roket tentera rejim.

“Jadi insya-Allah mereka se­dang berusaha menyiapkan usaha tersebut dan mudah-mudahan mereka dapat masuk dan menghantar sumbangan secara terus kepada penduduk di bumi Gaza,” katanya.

Beliau memberitahu, Semenanjung Gaza ketika ini masih berada di bawah pemantauan berterusan oleh tentera rejim menggunakan quadcopter iaitu dron pengintip tanpa pemandu.

“Baru-baru ini kita mendapat berita terdapat pengintip Israel yang masuk. Namun mereka menggunakan quadcopter yang dihantar ke Gaza untuk memantau serangan yang telah mereka lakukan tetapi ia bukanlah serangan.

“Bagaimanapun, secara asas­nya serangan sudah terhenti di Gaza, dan Alhamdulillah ke­adaan tenang cumanya pendu­duk bersusah payah untuk mem­betulkan semula apa yang telah dimusnahkan oleh Zionis,” katanya.

Menurut beliau, terdapat tiga kementerian di Palestin yang terlibat dalam membaik pulih semula iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kementerian Pembangunan Masyarakat manakala yang menguruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah Kementerian Luar Negeri.

“Kita sudah berhubung de­ngan keempat-empat kementerian bagi mengetahui apa yang mereka perlukan.

“Pertama sekali adalah bantuan kecemasan untuk mereka yang rumahnya musnah sepenuhnya iaitu sekitar 2,000 orang. Kedua adalah membaik pulih rumah bagi penduduk yang rumahnya musnah separa yang mana jumlah mereka itu melebihi 13,000 buah rumah dan perlu dibaiki sekitar RM10,000 bagi sebuah rumah.

“Seterusnya bantuan anak-anak yatim yang terdiri daripada 211 orang,” ujarnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: