Ahad, 27 Jun 2021

Bawa dadah bernilai lebih RM6 juta, 2 lelaki ditahan di SJR

azrulhakimie

Dadah dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar utara Semenanjung

IPOH– Polis merampas dadah seberat 128.78 kilogram (kg) bernilai RM6.439 juta apabila dua lelaki tempatan ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, kedua-dua suspek berumur 41 dan 47 tahun yang menaiki kereta mewah jenis Bentley berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan dadah jenis Methamphetamine seberat 122.5 kg di dalam 117 bungkusan teh Cina di ruang penyimpanan barang di bahagian belakang kenderaan itu yang telah diubah suai.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan turut menemukan enam lagi bungkusan teh Cina yang didalamnya mengandungi 6.28 kg dadah jenis Methaphetamine di ruang penyimpanan tayar tambahan di bahagian belakang kereta berkenaan.

“Turut disita wang tunai bernilai RM3,390,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai surat kebenaran merentas negeri yang sudah tamat tempoh atas alasan mempunyai urusan perniagaan.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati hanya suspek berumur 41 tahun positif dadah jenis Methamphetamine manakala suspek berumur 47 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar utara Semenanjung dan kedua-dua suspek yang berasal dari Johor direman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: