Khamis, 24 Jun 2021

469 kes dikompaun RM1,500 hingga RM20,000 di Kelantan

Polis Kelantan merekodkan 496 kes penduduk Kelantan dikompaun sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh, kata Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Abdullah Mat Piah.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan membabitkan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69 kes), tiada penjarakan fizikal (31 kes), tidak memakai pelitup muka (110 kes), premis beroperasi lebih masa (12), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (204 kes).

"Selain itu membabitkan enam kes bawa penumpang berlebihan, keluar tanpa alasan munasabah ada 25 kes, melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan dan seumpamanya ada 39 kes yang dikompaun," katanya kepada media selepas membuat tinjauan persiapan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kemumin, Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, semua tindakan tersebut diambil kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Penyakit Berjangkit 2021.

"Nilai kompaun yang mencecah sehingga RM20,000 membabitkan kesalahan oleh syarikat yang dikesan melalui operasi bersepadu bersama agensi-agensi lain," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai PKPD terbaru di Kampung Pulau Tukang Dollah, Abdullah berkata, PKPD di kawasan berkenaan membabitkan 866 penduduk dan 188 buah rumah.

Katanya, polis akan menutup empat laluan keluar masuk di lokaliti tersebut selain memasang kawat duri supaya penduduk keluar.

"Seramai 25 pasukan keselamatan yang terbabit menjaga kawasan PKPD berkenaan mulai tengah malam ini dan kita berharap penduduk memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh pelaksanaan itu mulai tengah malam ini sehingga 8 Julai," jelasnya.

Tiada ulasan: