Jumaat, 18 Jun 2021

32 dikompaun di Johor gara-gara main badminton

Bernama

Kesemua mereka dikompaun terdiri daripada pemilik pusat sukan tersebut dan pemain badminton berusia 18 hingga 44 tahun.

Gara-gara berkumpul dan bermain badminton di sebuah gelanggang badminton di Skudai dua hari lepas, 32 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid berkata kesemua mereka dikompaun terdiri daripada pemilik pusat sukan tersebut dan pemain badminton berusia 18 hingga 44 tahun.

Beliau berkata serbuan di premis terletak di Batu 6, Jalan Skudai kira-kira 5.30 petang itu hasil daripada maklumat orang awam.

“Pemilik premis dikenakan kompaun RM2,000 manakala mereka yang bermain badminton masing-masing dikenakan RM1,500 seorang kerana bermain badminton semasa tempoh PKP dan tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Kesalahan dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan)(No.4)(Pindaan)(No.16) 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kesemua individu terbabit dibebaskan tanpa syarat sebaik kompaun dikeluarkan dan mereka dikehendaki menjelaskan bayaran di pejabat kesihatan daerah Johor Bahru.

Tiada ulasan: