Ahad, 13 Jun 2021

200,000 vaksinasi sehari disasar akhir bulan depan – Ahmad Amzad

Sukarelawan membantu salah seorang warga emas untuk mendapatkan suntikan Vaksin di dalam bas yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin pada Program Vaksinasi Covid19 @ Wilayah Prihatin di Flat PKNS Sg Baru, Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MEMANDANGKAN jumlah vaksin disuntik sekarang telah mencapai 150,000 dos sehari, kerajaan akan memastikan sasaran 200,000 suntikan vaksin COVID-19 sehari dapat dicapai pada akhir Julai depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keadaan itu sekali gus memendekkan tempoh menunggu dalam kalangan pemohon yang sudah lama berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, fokus kerajaan ketika ini ialah meningkatkan jumlah kuantiti suntikan harian melalui pelbagai strategi termasuk mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menambah tenaga kerja terutama vaksinator.

“Sasaran pada Jun telah dapat dicapai iaitu 150,000 suntikan sehari dan fokus seterusnya ialah 200,000 suntikan sehari pada Julai…ada cadangan untuk PPV beroperasi selama 24 jam sehari namun ini perlu diperhalusi kerana petugas juga perlu berehat.

“Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dimulakan pada Februari, seramai 4.3 juta penduduk telah divaksin dan jumlah itu masih jauh daripada sasaran 80 peratus imuniti kelompok (26.5 juta penduduk) di Malaysia dan pelbagai usaha sedang kami jalankan untuk meningkatkan jumlah suntikan harian seperti yang disasarkan,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

UniSZA adalah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di Terengganu yang dijadikan PPV melalui kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata langkah menjadikan sebanyak 19 IPTA di seluruh negara sebagai PPV dengan sasaran 430,000 suntikan sebulan juga akan membantu kerajaan memendekkan tempoh menunggu pemohon sedia ada sekali gus mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kecekapan anggota kesihatan di Terengganu yang berjaya menjalankan program pemvaksinan dengan sangat cemerlang iaitu 92.8 peratus kadar penggunaan vaksin yang dibekalkan.

“Kadar penggunaan vaksin ini adalah yang tertinggi dalam negara iaitu daripada jumlah keseluruhan 183,700 dos dibekalkan kepada Terengganu, sebanyak 92.8 peratus telah digunakan dan kini ia berbaki 13,239 dos sahaja,” katanya.

Sementara itu, Hassan Basri berkata seramai 39,000 penduduk sekitar Kuala Nerus akan menerima vaksin dalam tempoh sebulan melalui PPV universiti itu dengan sasaran minima 1,000 suntikan sehari.

“Pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut dirancang bagi kes tertentu seperti Orang Kurang Upaya dengan sasaran 300 orang setiap sesi.

“Bagi menyokong usaha ini, seramai 350 kakitangan UniSZA digerakkan terdiri daripada petugas barisan hadapan dan sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar serta alumni yang telah berdaftar,” katanya yang bercadang turut mengadakan program outreach untuk memberi suntikan kepada penduduk kampung di kawasan pedalaman di Terengganu.

Tiada ulasan: