Sabtu, 8 Mei 2021

Tiada cadangan laksana PKP menyeluruh, kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis 
Keselamatan Negara (MKN) pagi ini, juga membincangkan kemungkinan 
PKP pada Hari Raya, dengan keputusannya dijangka diumumkan petang 
ini atau selewat-lewatnya esok.

JERANTUT: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini, sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP bersasar juga boleh dilakukan mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE) yang boleh menunjukkan kawasan tertentu dengan penularan kes yang besar (titik panas) Covid-19 untuk dikenakan PKP.

“Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan yang banyak dengan skala paling kecil ialah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.

“Bagaimanapun, macam-macam kemungkinan boleh berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan (KKM) jika tiada intervensi daripada kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih 5,000 selepas raya dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai dan Ogos,” katanya.

Beliau ditanya jika kerajaan berhasrat melaksanakan PKP secara menyeluruh memandangkan peningkatan kes baharu yang tinggi sejak kebelakangan ini dengan 4,498 kes baru semalam, selain kebimbangan masyarakat jika PKP menyeluruh dikenakan pada saat-saat akhir sebelum Aidilfitri minggu depan.

Mengulas lebih lanjut, Ismail berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi ini, juga membincangkan kemungkinan PKP pada Hari Raya, dengan keputusannya dijangka diumumkan pada petang ini atau selewat-lewatnya esok bagi memberi rakyat membuat persediaan sebaiknya.

Ismail juga mengesahkan MKN Pahang telah membuat permohonan supaya daerah Kuantan diletakkan bawah PKP mengambil kira peningkatan kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini, namun ia juga belum diputuskan.

Tiada ulasan: