Selasa, 11 Mei 2021

Tahap pematuhan SOP kurang memuaskan punca peningkatan kes di Pahang

Oleh NIK SUKRY RAMLI
WAN Rosdy Wan Ismail (tengah, baju hijau) melancarkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, Pahang.

KUANTAN: Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat yang masih kurang memuaskan dipercayai menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kadar kes positif Covid-19 di negeri ini.

Sikap sambil lewa dan menganggap ancaman wabak Covid-19 bukan sesuatu yang serius dalam kalangan segelintir penduduk di negeri ini sangat dikesali dan tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa bagi mendisiplinkan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini setakat ini memuaskan dan tindakan kompaun hanya dikeluarkan kepada pihak yang gagal mematuhi arahan dan garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Secara keseluruhannya, tahap pematuhan SOP di Pahang boleh diperbaiki kerana masih ramai yang tidak memahami pentingnya memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan (kerap) mencuci tangan.

“Kalau semua boleh patuh SOP ditetapkan ini, saya fikir, kita tidak berdepan masalah untuk mengatasi (penularan) wabak Covid-19 di Pahang.

“Masalahnya sekarang, kita nampak (jumlah) kes masih banyak dan meningkat, terutamanya di Kuantan, jadi, ini mungkin ada kaitan dengan tahap kesedaran dan pematuhan SOP dalam kalangan penduduk… sebab itu, saya minta dan harap sangat bahawa semua rakyat dapat bersama menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Bantuan itu akan mula diagihkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen Pahang bermula hari ini dibantu Majlis Tindakan Sosial Negeri, membabitkan peruntukan kira-kira RM580,000.

Wan Rosdy turut meminta kerjasama ADUN dan ahli Parlimen di negeri ini meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman Covid-19 yang bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap kesihatan hingga mengakibatkan kematian, bahkan turut memberi impak terhadap struktur sosial terutamanya kesan terhadap ekonomi setempat.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: