Jumaat, 7 Mei 2021

Selepas UPSR dibatal, sekolah luar bandar perlu kemudahan lebih baik

Murid Orang Asli di sekolah luar bandar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa kemudahan lebih baik disediakan di sekolah luar bandar susulan pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kini.

Pakar kemiskinan dari Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Fatimah Kari berkata, jika langkah itu tidak diambil, maka wujud risiko jurang pendidikan bandar-luar bandar menjadi lebih luas.

Beliau berkata, sekolah di luar bandar akan terus ketinggalan jika usaha tidak dilakukan bagi membaiki infrastruktur mereka, kualiti guru dam kemampuan internet serta sumber pembelajaran lain.

“Pemansuhan UPSR tanpa menyediakan semua pembaikan di atas akan memperluas jurang sedia ada,” katanya kepada FMT.

“Kemiskinan dan kekurangan, terutama nutrisi, akan terus mempengaruhi kehadiran ke sekolah serta pencapaian dan meningkatkan kadar keciciran, terutama dalam kalangan Orang Asli di semenanjung dan kumpulan etnik minoriti di Sabah dan Sarawak.

“Kita perlukan akses lebih baik dan sambungan internet lebih pantas. Kita mahu murid terbiasa dengan aplikasi dan kemajuan teknologi lain.”

Mastra Irfa Nasrun, yang mengajar murid daripada komuniti Jakun sejak tiga tahun lepas berkata, beliau mahu murid luar bandar didedahkan kepada kemahiran dan pengetahuan yang tersedia untuk murid di bandar.

Justeru katanya, kemudahan internet tidak dapat dielakkan sama sekali.

Beliau menyambut baik pemansuhan UPSR dengan berkata, persekolahan berorientasi peperiksaan kurang berkesan dalam kalangan anak-anak Orang Asli.

Menurutnya, mereka mewarisi kemahiran, bakat dan cara belajar daripada komuniti masing-masing.

“UPSR jelas tidak membantu mereka untuk bersaing,” kata beliau.

“Kita tahu soalan UPSR distandardkan. Murid Orang Asli tahu mereka perlu bersaing dengan murid di kawasan bandar. Ini menyebabkan mereka tertekan.”

Mastra berkata, pemansuhan UPSR akan menyuburkan pembelajaran holistik.

“Ia tidak tertumpu pada subjek akademik semata-mata.”

Bagaimanapun katanya, wujud keperluan mekanisme berkesan untuk menilai murid bagi memastikan anak-anak Orang Asli boleh bersaing di peringkat kebangsaan.

Pensyarah di Fakuti Pendidikan Universiti Malaya Zuwati Hasim berkata, beban tugas guru mungkin merupakan halangan utama dalam menjalankan penilaian berasaskan sekolah atau bilik darjah.

Beliau berkata, peralihan daripada UPSR kepada penilaian berasaskan sekolah dan bilik darjah perlu dirancang dengan baik supaya guru tidak terbeban dengan kertas kerja, penstoran data tidak perlu atau tugas pentadbiran.

Berhubung persoalan sama ada bilangan murid yang ramai dalam bilik darjah akan menyukarkan pelaksanaan penilaian berasaskan sekolah atau bilik darjah, beliau berkata, “ia bukan isu utama sekiranya latihan diberikan berhubung pengurusan bilik darjah dan penilaian.”

Zuwati berkata, guru tidak perlu memberi maklum balas kepada murid individu setiap masa.

Beliau menggesa silibus sekolah digubal semula bagi memastikan murid benar-benar memahami pelajaran yang diikuti dan mencapai objektif pembelajaran yang bermakna.

“Kita perlu pastikan kandungan subjek sesuai dengan umur dan tahap kebolehan mereka,” katanya.

Minggu lepas Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, keputusan untuk memansuhkan UPSR dibuat selepas berunding dengan pengetua sekolah, guru, ibu bapa, murid dan pihak lain.

UPSR diperkenalkan pada 1988 dan idea untuk memansuhkannya dibuat pada 2010 oleh menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Tiada ulasan: