Isnin, 10 Mei 2021

PKP di Kluang bermula esok hingga 24 Mei

Bernama

PKP bersasar dilaksanakan kerajaan bagi menyekat pergerakan orang awam terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Kluang, Johor bermula Selasa ini hingga 24 Mei susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 512 kes positif dicatatkan daripada keseluruhan 3,867 ujian saringan dilakukan sejak 4 Mei lepas.

“Selain itu, KKM juga melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah ini selain kadar positif pula adalah 13 peratus manakala kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

“Dengan adanya pelaksanaan PKP di daerah ini, pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan berkenaan perkembangan PKP semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKP itu antara lain bagi menyekat pergerakan orang awam terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah berikutan kluster tertinggi yang dilaporkan setakat ini adalah daripada komuniti.

Tiada ulasan: