Isnin, 10 Mei 2021

Penduduk marah laluan tikus ditutup bakar penghadang polis

AGENDA DAILY

Pihak tidak bertanggungjawab membakar penghadang plastik dan kawat berduri di laluan tikus di Kampung Gong Lapang, Besut Terengganu yang bersempadan dengan Pasir Putih, Kelantan, pada Ahad. - Gambar PDRM

Respons terhadap penutupan laluan tikus di sempadan Terengganu dan Kelantan semakin ganas apabila penghadang plastik dan kawat duri yang dipasang di Kampung Gong Lapang, Besut dibakar dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab semalam.

Sehubungan itu, polis sedang menyiasat kejadian berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6959999.

Perbuatan khianat itu dikesan di Kampung Gong Lapang, Besut kira-kira jam 9.30 pagi Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik.

“Masyarakat seharusnya memahami pentingnya untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Bagaimanapun ada masyarakat yang tidak mengambil endah dengan arahan yang telah dikuatkuasakan,” katanya.

Penghadang jalan yang dibakar di Kampung Gong Lapang, Besut Terengganu pada Ahad. – Gambar PDRM

Masyarakat sudah sepatutnya faham betapa pentingnya untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun begitu, apa yang mengecewakan serta menyedihkan, masih terdapat mereka yang masih lagi berdegil, keras kepala dan seakan tidak ambil kisah dan ambil tahu mengenai arahan PKP yang dikuatkuasakan.

Pihak tidak bertanggungjawab itu dikatakan memberontak kerana laluan tikus yang biasa mereka lalui telah ditutup sepenuhnya di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Putih, Kelantan.

Bagaimanapun, polis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya daerah Besut meletak semula penghadang batu bagi memastikan ia tidak dialih pada masa depan.

Tiada ulasan: