Sabtu, 8 Mei 2021

Pemandu Jabatan Kehakiman Syariah Perak maut kemalangan

Oleh ASLIZA MUSA
KERETA Jabatan Kehakiman Syariah Perak yang terlibat kemalangan di Kilometer 55, Jalan Ipoh-Taiping dekat Kuala Kangsar, Perak, hari ini. - IHSAN JBPM

KUALA KANGSAR: Seorang pemandu Jabatan Kehakiman Syariah Perak maut setelah kereta jabatan yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 55 Jalan Ipoh-Taiping, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Mohd. Radzay Osman, 42, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan berlaku melibatkan kereta Proton Preve dipandu mangsa dan sebuah treler tanpa muatan dipandu lelaki berusia 50 tahun.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan treler dari arah Padang Rengas menghala Kuala Kangsar dan menyebabkan pertembungan berlaku.

“Akibat pertembungan itu, treler berkenaan terbabas ke kanan dan merempuh pagar sebuah kedai manakala kereta dipandu mangsa berpusing ke bahu jalan dan terbakar.

“Kebakaran di bahagian depan kenderaan itu bagaimanapun dipadamkan oleh pihak bomba. Mangsa yang parah maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: