Selasa, 11 Mei 2021

Negara bakal alami hari tanpa hujan mulai 19 Mei: MET Malaysia

 Athirah Huda Zalhe

Tempoh monsun barat daya berisiko punca fenomena jerebu

BANGI – Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak tidak lama lagi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Ini kerana, monsun Barat Daya dijangka bermula pada 19 Mei ini dan akan berterusan sehingga pertengahan September 2021.

Ketua Pengarah MET Malaysia berkata, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah serta keadaan atmosfera lebih stabil.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh berkenaan.

“Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MET Malaysia berkata, dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa hujung Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Untuk maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca media sosial dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Tiada ulasan: