Ahad, 9 Mei 2021

Nak rentas negeri, ‘atuk’ 65 tahun sanggup menyamar pegawai kanan polis

Lelaki berusia 65 tahun pergi ke balai polis untuk memohon permit rentas 
negeri dengan mengaku dia pegawai kanan polis.

Petaling Jaya: Seorang lelaki warga emas menyamar sebagai pegawai kanan polis untuk mendapatkan kelulusan permohonan rentas negeri di Balai Polis Petaling Jaya, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 65 tahun itu memakan diri apabila dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid, berkata dalam kejadian 9 malam, lelaki berkenaan datang ke balai untuk memohon permit rentas negeri.

Katanya, suspek menunjukkan gambarnya memakai seragam lengkap di telefon pintar.

“Suspek mengaku bergelar ‘Datuk’ dan berpangkat Asisten Komisioner Polis tanpa menunjukkan sebarang bukti identiti sebagai pegawai kanan polis.

“Anggota bertugas ketika itu meminta suspek mengemukakan dokumen yang menunjukkan dia adalah pegawai kanan polis namun gagal berbuat demikian,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, polis menahan suspek kerana gagal mempamerkan sebarang kad identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai penjawat awam.

“Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” kata Fahkrudin.

Tiada ulasan: