Ahad, 9 Mei 2021

Muat naik video hina mahkamah, lelaki didakwa esok

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata suspek akan 
dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PUTRAJAYA: Seorang lelaki akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang esok kerana memuat naik video menghasut dan menjatuhkan imej institusi kehakiman di YouTube baru-baru ini.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata suspek akan dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, lelaki dikenali sebagai Jufazli Shi Ahmad didakwa selepas polis menerima laporan dibuat seorang kakitangan Pejabat Kehakiman Negara mengenai satu pautan video dimuat naik di YouTube yang dilihat cuba menghasut dan menjatuhkan institusi kehakiman pada 23 April lalu.

“Susulan itu polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan polis mendapati video itu bertajuk ‘Hakim kes 1MDB diugut oleh Najib Razak dalam Mahkamah Malaysia?’ berdurasi lebih kurang 20 minit di YouTube.

“Antara isi kandungan video itu adalah mempersoalkan kewajaran penukaran Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (jenayah) ke Mahkamah Tingi Kuala Lumpur (sivil) berkuatkuasa 1 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan.

Tiada ulasan: