Selasa, 11 Mei 2021

Katil ICU pesakit Covid-19 di Hospital Pulau Pinang penuh

Oleh KHUZAIRI ISMAIL

CHOW KON YEOW

GEORGETOWN: Peningkatan kes positif Covid-19 di Pulau Pinang menyaksikan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit itu di hospital awam telah mencapai 100 peratus.

Selain itu, kadar penggunaan fasiliti perubatan secara keseluruhannya juga telah melebihi 70 peratus bagi katil Covid-19 bukan ICU, setakat semalam.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sepanjang minggu ke-18 iaitu antara 2 Mei hingga 8 Mei lalu, sejumlah 1,682 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di negeri ini.

Malah ujarnya, Jabatan Kesihatan negeri (JKNPP) turut memaklumkan jumlah kes aktif di negeri ini telah mencecah lebih 1,000 kes sekali gus memerlukan pemantauan serta pengurusan aktif daripada pihak hospital dan pejabat kesihatan daerah.

“Keadaan ini adalah membimbangkan dan kita tidak mahu situasi sebagaimana di India berlaku di negara kita.

“Berlandaskan itu, JKNPP akan meneruskan aktiviti penyiasatan pengesanan kes dan kontak serta ujian saringan di semua fasiliti terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru individu-individu yang bergejala mendapatkan rawatan atau menjalankan saringan pada kadar segera.

“Janganlah kita berlengah kerana terdapat beberapa kes yang lewat mendapatkan rawatan awal berakhir dengan keadaan teruk seperti sesak nafas dan seterusnya membabitkan kematian.

“Kita tidak inginkan perkara sedemikian berlaku kepada rakyat negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: