Jumaat, 7 Mei 2021

Kanak-kanak beli aiskrim RM10,714

Oleh KOSMO!

  Noah membeli 51 kotak aiskrim dengan 918 batang aiskrim di dalamnya. -NY Post

BROOKLYN, New York – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang merupakan peminat setia kartun SpongeBob SquarePants tanpa sengaja telah membeli aiskrim karakter tersebut berjumlah AS$2,600 (RM10,714) melalui laman web Amazon, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Bagaimanapun, seorang individu baik hati kemudian mewujudkan kutipan derma online menerusi laman web GoFundMe bagi membantu membiayai kos tersebut.

Menurut halaman kutipan dana itu, peminat cilik SpongeBob bernama Noah itu membeli aiskrim SpongeBob untuk dihantar ke rumah ibu saudaranya.

Ia terdiri daripada 51 bekas aiskrim mengandungi 918 batang aiskrim di dalamnya.

Biarpun kesilapan tersebut nampak comel, Amazon bagaimanapun tidak menerima pemulangan semula aiskrim tersebut dan ibu Noah, Jennifer Bryant terpaksa membayar harga aiskrim itu.

Pembelian tanpa sengaja kanak-kanak itu berjaya dibayar sepenuhnya apabila orang ramai bermurah hati memberikan sumbangan kepada Bryant berjumlah AS3,675 (RM15,150).

“Terima kasih atas kemurahan hati anda semua,” tulis wanita itu pada halaman tersebut. Dia menambah, lebihan kutipan dana itu akan digunakan untuk rawatan anaknya yang menghidap autisme. 

Insiden tersebut bukan yang pertama membabitkan perbelanjaan secara sembunyi.

Sebelum ini, seorang wanita di Connecticut terkejut apabila anak lelakinya yang berusia 6 tahun menggunakan kad kreditnya berjumlah AS16,000 (RM65,960) untuk membeli  permainan video. -Agensi

Tiada ulasan: