Jumaat, 7 Mei 2021

Jerantut bakal pengeluar klon musang king organik terbesar di Pahang

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
AHMAD Nazlan Idris (depan tiga dari kanan) bersama Dr. Raymond Samy (tiga dari kiri) dan kakitangan pengurusan United Tropical Fruit selepas majlis berbuka puasa dan pelancaran projek musang king organik di Bandar Inderapura, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT: Jerantut bakal menjadi perintis pengeluaran durian musang king organik D197 apabila projek perladangan tanaman itu dibangunkan di daerah ini tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kerajaan akan menyediakan tanah seluas 40 hektar bagi projek itu yang akan diusahakan sebuah syarikat perladangan antarabangsa, United Tropical Fruit (UTP).

Beliau berkata, selain mukim Tembeling Tengah, beberapa kawasan lain tanah milik kerajaan di daerah ini dicadangkan kepada UTP untuk projek tersebut dan perlu memperoleh kebenaran kerajaan negeri menerusi permohonan serta rundingan dengan Pejabat Daerah Jerantut.

“UTP yang telah membuat kajian saintifik mengenai klon tanaman ini memilih daerah ini kerana kawasan tanah yang sesuai selain tapak logistik bagi pasaran, kajian termasuk potensi tarikan pelancong berasaskan produk makanan daripada buah tropika berkenaan.

“Saya tidak menjadi halangan untuk syarikat UTP melebarkan projek perladangan musang king organik di sini memandangkan ia berpotensi dari segi peluang pekerjaan serta tempias bagi penduduk yang berminat mengusahakan tanaman serta pasaran buah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan pelancaran projek perladangan UTP di Bandar Inderapura di sini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan UTP , Dr. Raymond Samy; Pengarah Urusan Durian Fresh Sdn. Bhd., Saiful Fazami dan Pegawai Pendidikan Jerantut, Dr. Azman Uzir.

Menurut Ahmad Nazlan, musang king organik D197 antara pasaran terbaharu ke Eropah dan China bakal dirintis oleh UTP mampu menjana perubahan ekonomi setempat dan pendapatan penduduk berasaskan sektor pertanian dan pelancongan.

“Saya berharap UTP dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di samping membantu petani atau pengusaha tanaman ini secara berkelompok dengan menggunakan teknologi terkini serta kepakaran syarikat ini di samping peluang menghasilkan produk makanan berasaskan buah ini.

“Sekiranya projek ini direalisasikan, Jerantut merupakan pengeluar musang king organik yang utama di Pahang yang belum lagi dirintis di tempat lain,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: